Monday, October 19, 2009

BICARA: Kesadaran: Melampaui fikiran.. 1

Kesadaran: Melampaui fikiran.. 1Tahukah anda ada sesuatu di balik fikiran anda? Ia sesuatu yang maha luas, yang tidak bertepian, yang tidak berpenghujung. Ia tidak ada sesuatu, tidak dilekati sesuatu, bahkan nama. Tetapi untuk sementara ini, untuk memudahkan anda mengenali, saya tandai ia dengan nama 'kesadaran'(dieja dengan 'a)..Yah, ia satu yang kosong yang tidak punya apa-apa. Ia seperti cahaya yang bersih, yang suci. Darinya terpancar seribu warna kehidupan yang membentuk kejadian.
Setiap warna terpancar darinya, tetapi dia sendiri bukanlah warna. Ia sumber segala warna. Pun begitu ia tetap begitu, bersih, baik dengan warna atau tanpa warna. Ia tidak dilekati oleh sesuatu apa pun..Sementara, fikiran adalah sesuatu yang keliru, yang perlukan jawapan dalam setiap pergerakkan. Fikiran hanya bergerak di atas landasan alasan dan rasional. Tanpa alasan dan rasional, fikiran akan membantah, akan mempersoal dan mempersoal. Tanpa jawapan, fikiran akan mencipta kerisauan dan kegelisahan. Tanpa jawapan, fikiran akan mencipta curiga dan prasangka. Anehnya, fikiran punya kekuasaan menguasai emosi demi untuk melestarikan hasradnya. Emosi adalah rakan sekutu yang sanggup melakukan apa sahaja demi fikiran. Emosi teman yang setia dan taat. Dan, jika dua ini bersatu atas satu tujuan, maka anda adalah orang yang paling derita di dunia ini. Atau mungkin, anda adalah orang yang paling tersenyum bahagia di dunia ini..
Sungguhpun fikiran mampu membuatkan anda tersenyum panjang, tetapi fikiran bukanlah sesuatu yang mampu anda kendali. Fikiran adalah subjek yang bebas dan bergerak sebebas-bebasnya. Fikiran juga bebas membuatkan anda beremosi sesuka hatinya. Bahkan dalam banyak hal, anda adalah kuda yang dipacu oleh fikiran anda. Anda tidak mungkin mampu mengarahkan fikiran, anda tidak mungkin menundukkan fikiran. Kerana, selama anda punya fikiran untuk menundukkan fikiran, sebenarnya anda mencipta fikiran lain dari fikiran sedia ada..Satu hal yang harus anda tahu adalah; dalam fikiran ada kesedaran. Ah, ia(kesedaran) bukan di dalam fikiran, ia bukan terikat dengan fikiran. Sungguh! Tetapi dek terbiasanya ia berserta fikiran, seolah-olah fikiran itu kesedaran, kesedaran itu fikiran. Itu yang berlaku pada manusia umumnya!!.. (bersambung..)
Salam persaudaraan..
KUL - 18 Oct 2009: 3.15am
_______________
ZamZam Jarkaseh
Demi dia yang mencipta dan menyempurnakan jiwaku, lalu dari jiwaku dilahirkan pohon kehidupan..

No comments:

Post a Comment