Wednesday, September 2, 2009

BAHASA INGGERIS : PENTINGKAH??

Aspek perbualan bahasa Inggeris sering menghantui kita yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Hal ini kerana perbualan bahasa Inggeris memerlukan komunikasi yang spontan dan kadang-kadang perkara ini menakutkan kita kerana melibatkan komunikasi face to face atau komunikasi secara berhadapan. Hal ini amat berbeza daripada aspek komunikasi bahasa Inggeris yang lain seperti menulis, membaca dan mendengar.

Pengenalan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Matematik dan Sains di sekolah pada peringkat rendah dan menengah telah meningkatkan lagi kepentingan perbualan bahasa Inggeris dalam aspek kehidupan pelajar-pelajar dan juga anak-anak kita. Pengajaran dan pemelajaran sesetengah subjek utama dalam bahasa Inggeris di institusi pengajian tinggi turut memerlukan kemahiran berbual dalam bahasa Inggeris untuk berinteraksi dengan baik dan selesa dengan pensyarah-pensyarah dan pelajar-pelajar lain. Jelas sekali kelemahan dalam perbualan bahasa Inggeris boleh menjejaskan proses pemelajaran anda dan juga memberikan kesan kepada perhubungan sosial anda dengan guru-guru dan kawan-kawan anda.

Dalam kerjaya, perbualan bahasa Inggeris juga amat penting kepada anda yang sentiasa berinteraksi dengan pelanggan-pelanggan , bakal pelanggan, pembekal dan juga pihak atasan. Kelemahan dalam perbualan bahasa Inggeris boleh memberikan kesan kepada komunikasi anda dengan mereka dan akhirnya menjejaskan kerjaya anda kerana tidak dapat dinafikan bahawa aspek komunikasi ialah aspek yang amat penting dalam kerjaya seseorang. Kejayaan seseorang dalam kerjayanya bukan sahaja bergantung kepada kemahiran bekerja semata-mata tetapi turut bergantung kepada kemahiran berinteraksi dan berkomunikasi dengan rakan-rakan sekerja dan pihak atasan.

No comments:

Post a Comment