Sunday, September 6, 2009

SUDAH SENANG KUTUK

Salam kembali, saya amat tertarik dengan artikel di bawah ini. Saya tidak tahu siapa yang menulisnya, saya hanya copy dan paste dari emel dan paparkan di sini. Artikel ini cukup menarik saya rasa, memang benar apa yang si penulis ini kata, kebanyakan daripada kita tidak pernah bersyukur di atas nikmat yang Tuhan berikan - ramai dikalangan kita sudah hilang nilai-nilai jati diri terhadap negara. Wallahualam - Ida Syuhada.
Suatu pagi, si ibu melangkah perlahan menuju ke sebuah klinik kerajaan untuk memeriksa tahap kesihatan kandungannya, dari bulan ke tiga hingga hampir bersalin si ibu mendapat rawatan percuma dari klinik itu.Di saat bersalin si ibu dihantar ke hospital, maka lahirlah bayi lelaki cukup sifat dan tahap kesihatan yang baik, selesai semuanya si ibu dan si bayi pun dibenarkan pulang, bayaran yang dikenakan hanyalah beberapa ringgit sahaja kerana bersalin di klinik kerajaan.Semasa di rumah, bidan kerajaan datang merawat dalam beberapa hari bagi memastikan tahap kesihatan si ibu dan si bayi sentiasa keadaan terbaik.
Tahun berganti tahun, bayi sudah semakin berusia kini menjadi kanak-kanak sehat menerima pendidikan awal di sebuah tadika kemas milik kerajaan, belajar dari Alif hingga Yaa, dari angka 1 hingga 10, dari A hingga Z.Tamat tadika, melangkah pula ke Sek Keb bantuan penuh kerajaan maka tahap pendidikan si anak semakin mantap hingga menjejak kaki ke Sek Men juga bantuan penuh kerajaan.Allah mengurniakan si anak ini otak cukup bijak yang akhirnya layak meneruskan pelajaran ke universiti awam disokong sepenuhnya oleh kerajaan, juga menerima bantuan biasiswa ribuan ringgit dari kerajaan untuk segala kemudahan.Akhirnya si ibu mengalir air mata kerana melihat anaknya kini berpeluang menyambung pelajaran ke luar negara, hasil sokongan dan bantuan jabatan pelajaran serta layak menerima bantuan kewangan juga dari kerajaan.
Bertahun si anak mentelaah pelajaran hingga tamat, akhirnya kini memiliki kelayakan pendidikan yang tinggi dan pulang di tanah air membawa kejayaan cukup membanggakan.Si anak kini sudah mampu berdikari, bekerja si satu jabatan kerajaan namun berhenti kerana ingin bekerja di syarikat swasta yang berpengaruh dengan alasan gaji lebih tinggi dengan jawatan nombor dua terbesar.Ekonomi si anak cukup baik hingga dapat membahagiakan si ibu dan si ayah, rumah semakin besar, kereta sederhana mewah kini berhasrat untuk berkahwin.Untuk mendirikan rumahtangga, si anak melangkah kaki ke jabatan agama kerajaan untuk memenuhi segala syarat sebelum dinikahkan.
Kini si anak tadi sudah bergelar si ayah memiliki dua anak sendiri yang seorang bersekolah di sek keb dan seorang bersekolah di sek men bantuan penuh kerajaan.Tiba-tiba suatu hari si ayah menyertai sebuah kumpulan dan semenjak itulah si ayah dari sehari ke setiap merasa cukup benci dan meluat dengan kerajaan, semua perkataannya hanya berunsur bencikan kerajaan.Kerajaan zalim, ganas, kuku besi, penindas, bodoh, ketinggalan, perampas hak, penting diri sendiri, makan harta rakyat, malah bermacam perkataan yang cukup menghina dan menjijikan.Bagi merealisasikan kebenciannya terhadap kerajaan, si ayah menyertai kumpulan pemberontak, rosakkan segala harga kerajaan (awam), mengganggu ketenteraman, membuat segala macam huru hara hingga memaksa kerajaan mengeluarkan belanja ribuan ringgit untuk memulihkan keadaan.
Kini si ayah sudah menjadi seperti warga asing, tidak sayangkan lagi tanah air, sanggup memburukkan negeri ke telingga asing, meludah jijik halaman sendiri, lebih malang langsung tidak terniat untuk bersyukur.Namun dalam lingkupan kebencian yang hitam itu, si ayah masih menghantar dua anaknya bersekolah di sekolah bantuan penuh kerajaan dengan harapan yang menggunung tinggi agar anaknya menjadi seorang manusia yang berguna di masa akan datang.
Marilah kita bersama berfikir sejenak, patutkah ia menjadi seperti itu hanya kerana setitik hasutan menghilangkan setasik kebaikan?Maaf kalau ada yang tersinggung, cili itu pedas jika di makan begitu saja tapi cili juga enak jika betul cara masaknya.Selamat Menyambut Kemerdekaan Ke 52
MERDEKA... MERDEKA... MERDEKA...

No comments:

Post a Comment